Tuesday, April 21, 2020

ADUKA JADI PENYELAMAT SEKUMPULAN PEKERJA JBA DARIPADA BAHAYA
__________________________________________
Gajah dengan Gerik cukup serasi..Nak becerita sikit pasal Gajah Gerik sekor ni,..Semasa aku sekolah Rendah Sri Adika Raja,masih aku ingat kadang-kadang askar akan bawa sekor Gajah di Lapangan Terbang siap ada nama lagi 'Aduka'namanya.
Sebenarnya bagi sesiapa yang sudah biasa dengan Empangan Temengor atau Pulau Banding, mesti mengetahui banyak kisah-kisah misteri yang tidak terjangkau  di akal fikiran. Dikawasan empangan tersebut.

Kewujudan Aduka (dijumpai sedang berkeliaran di Hutan Belum, pada sekitar tahun 80an memang satu lagenda. Mengikut cerita daripada sahabat aku daripada Air Ganda @Temengor, Aduka sebenar Gajah Datok beliau namanya bukan la Aduka.Atas sebab2 tertentu Aduka dilepaskan.
(nanti aku check balik nama sebenar Aduka)

Gajah ini memang jinak pada penjaga atau pengasuhnya, iaitu salah seorang anggota sentri Unit Kawalan Kawasan (UKK) PDRM, yang mengawal di kawasan Empangan Temenggor (kawasan itu perlu dikawal 24 jam setiap hari memandangkan kepentingan empangan tersebut, tambahan ianya berada di garisan sempadan negara Thailand).

Aduka akan bertindak ganas mempertahankan kawasannya dari dicerobohi gajah-gajah liar. Dengan tubuhnya yang gagah dan gadingnya yang besar, Aduka dapat menhalang kedatangan gajah-gajah lain yang sentiasa menakutkan pengguna jalanraya di kawasan itu.Gajah ini sebenarnya suka tidur atas jalan,untuk memanaskan badannya.

Tidak susah hendak memelihara atau mengasuh Aduka ini. Menurut penjaganya, kebanyakkan masa Aduka akan berada dalam hutan untuk `meronda’ dan hanya muncul 2 atau 3 kali seminggu di kem sentri mencari penjaganya untuk diberi makanan berupa roti atau bijirin. Sekali-sekala, sewaktu diberikan nasi putih yang dicampur dengan pisang masak atau sejenis tumbuhan yang digelar tebu gajah, Aduka akan menari-nari macam gajah sarkas.

Mereka yang kerap melalui kawasan ini sudah bersedia menghadapi keadaan demikian. Jika dihadang oleh binatang liar ini, terpaksalah mematikan enjin kenderaan dan berdiam diri sahaja sambil berdoa agar binatang itu cepat berlalu. Sulitnya, jika binatang liar tersebut tidak mahu berganjak, maka terpaksalah menanti dengan sabar dan tawakkal kepada Allah semata-mata. Sudahlah telefon bimbit belum wujud ketika itu, jalanrayanya jarang dilalui kenderaan lain memandangkan ianya hanya menghubungkan kawasan pendalaman tersebut sahaja.

Ada ketika Aduka sendiri yang menghalang laluan ini, sekiranya dia cuba memaklumkan terdapat sesuatu bahaya di hadapan. Misalnya terdapat kumpulan gajah liar yang melintas, atau bahaya lain yang hanya mampu dikesan oleh deria ke tujuh haiwan istimewa itu. Pernah terjadi satu kejadian, di mana Aduka tidak membenarkan sebuah trak JBA yang melalui jalanraya itu dari bergerak ke mana-mana.

Sekumpulan pekerja JBA yang seramai lebih kurang lima ke enam orang, sebenarnya dalam perjalanan pulang dari Empangan Temenggor setelah selesai menjalankan tugas pemeriksaan di empangan itu. Mereka hanya mampu mendiamkan diri dan mematikan enjin kenderaan selama hampir lima jam di tengah jalanraya yang diselubungi hutan tebal dan jauh di pendalaman itu.

Mereka tidak mampu melakukan apa-apa selain akur dengan sikap Aduka ketika itu yang sedang berdiri hampir sama besar dengan trak mereka, dalam keadaan seperti resah-gelisah.
Dalam kegelapan malam, mereka dapati tubuh Aduka seperti keputih-putihan disinari cahaya bulan. Kemudiannya selepas Aduka mengundurkan diri semula ke dalam hutan tebal, mereka pun meneruskan perjalanan pulang.

Tidak berapa jauh dari tempat mereka 'ditahan' itu, kelihatan bekas pokok-pokok dirempuh di kiri-kanan jalanraya oleh sekawan gajah liar melintas. Lantas mereka dapat fahami tindakan Aduka sebelumnya itu. Mengapa Aduka tidak bertindak menghalau gajah liar itu? Mungkin jarak yang tidak mengizinkan Aduka berkejar ke sana, atau sememangnya Aduka sedar yang kumpulan gajah itu tidak menggangu dan sekadar mahu meneruskan perjalanan mereka yang tidak ketahuan tujuan dan arahnya.

Sebenarnya, memang banyak kisah-kisah menarik gajah Aduka sepanjang hayatnya di situ, malah ketika waktu matinya juga amat menarik untuk dikongsi atau mungkin terdapat hikmah di sebaliknya. Selain kisah Aduka, banyak lagi kisah misteri dan kisah pelik lain yang sering terjadi di Tasik Temengor dan Pulau Banding.
*Gambar dibawah adalah 'ADUKA'.
-HPN