Thursday, November 28, 2019

Serang Hendap Di Kroh






Pada 17 Jun 1968, lebih kurang jam 5.30 petang, satu konvoi sedang bergerak dari pangkalan PPH Kroh menuju ke Betong melibatkan Strike Force daripada Platun 11 Batalion 1, Kompeni C, Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta dan Platun 11 Batalion 2 untuk menjalankan tugas “Ops Sawadee Salam”.

Sebelum itu Platun 11, Batalion 2, PPH Ulu Kinta  yang diketuai oleh ASP G/3067  Tan Hun Tiong (Johny)  bersama enam orang anggota telah bergerak ke stor di Sungai Petani mengambil kawat duri untuk dibawa ke Tek Betong dan kemudiannya bergabung bersama pasukan bantuan Strike Force yang bermalam di Pangkalan Batalion 19 PPH Kroh.

Maklumat awal mengatakan pihak komunis akan menyerang Tek PPH di Betong. Di atas maklumat tersebut satu pasukan bantuan dan kawad duri diperlukan untuk mengukuhkan pertahanan di sana. Setelah semuanya berkumpul di Pangkalan Batalion 19 Kroh,  konvoi mula bergerak dengan di dahului oleh Insp. Malik Arshad diikuti oleh empat buah kenderaan iaitu Land Rover, Trak Unimog serta Trak 3 tan  dan di belakang sekali adalah Trak 3 tan tanpa bumbung yang dinaiki oleh ASP Tan Hun Tiong bersama anggotanya yang sarat dengan katil tambahan dan kawat duri untuk di bawa ke Tek Betong. Apabila sampai di Pekan Kroh, Insp. Malik Arshad telah berhenti untuk membeli barang keperluan dan meminta supaya ASP Tan Hun Tiong bergerak dahulu.

Sebaik sahaja lori ASP Tan Hun Tiong melepasi sempadan, kedengaran deruan kenderaan konvoi yang berada di belakang telah semakin hampir. Dengan tidak semena-mena ketika itu juga terdengar tembakan bertalu-talu ke arah konvoi Insp Malik Arshad. ASP Tan Hun Tiong dan anak buahnya dengan pantas melompat turun dari lori mengambil kedudukan berlindung. PC Low Teng (pemandu lori) tanpa berlengah telah memecut lori seorang diri menuju ke Tek Betong untuk meminta bantuan. ASP Tan Hun Tiong dan anggotanya terus dihujani peluru sehingga tidak dapat memberi bantuan kepada konvoi Insp Malik Arshad, walaupun jaraknya begitu hampir. Pasukan polis yang diketuai oleh Insp. Malik Arshad terus melawan dan memberikan tentangan walaupun tiada tempat untuk berlindung. Akhirnya satu persatu anggota konvoi rebah ke bumi. Kedudukan musuh amat strategik kerana berada di atas tiga buah bukit dan menyerang sewaktu konvoi melalui selekoh tajam.

Beberapa minit kemudian satu Platun dari Tek Betong diketuai oleh Sjn.Isam bin Long telah tiba untuk memberi bantuan, tetapi segala-galanya telah terlambat. Pada waktu itu yang tinggal hanyalah mayat yang bergelimpangan dan anggota-anggota yang mengalami kecederaan  parah. Konvoi seramai 35 anggota PPH yang diserang hendap oleh komunis telah menyebabkan seramai 16 orang terkorban dan 17 orang mengalami kecederaan manakala 2 orang anggota berjaya melepaskan diri dengan memasuki hutan berhampiran tanpa mengalami kecederaan. Mereka telah dijumpai beberapa hari kemudiannya dengan didapati merayau-rayau di kawasan hutan tersebut dalam keadaan yang penuh trauma. Dua anggota di kalangan 17 anggota yang tercedera berikutnya telah meninggal dunia akibat dari kecederaan yang teruk di hospital. Sementara Insp Malik Arshad telah mengalami kecederaan yang parah dan pihak komunis turut mengambil serta merampas ke semua senjata, kelengkapan dan radio wireless set.

Ini adalah satu titik hitam dalam sejarah bagi Pasukan Polis Diraja Malaysia dan khususnya bagi Platun 11 Kompeni ‘C’ Batalion 1 PPH di dalam peperangan menentang pengganas komunis di Malaysia. Insiden ini akan selalu diingati sebagai salah satu pengorbanan yang dijalankan oleh pegawai dan anggota pasukan polis.

No comments:

Post a Comment